30 December 2019

Dari Sungai Sendat Ke Batu Pahat Bertemu Wali Keramat

Ini cerita kenangan, 11 tahun lepas - atau orang kampung aku panggil throwback. Orang kampung sebelah nun pulak sebut flashback.. So, ia bukan kisah travel atau berbentuk itenerari .. Ia hanyalah masa lalu yang tertinggal..


Tahun itu tahun kedukaan. Ayah meninggal dunia 5 hari selepas kebetulan aku pulang bercuti (belajar) di rumah. Tahun itu aku hanya sempat jumpa ayah selama lima hari. Perasaan dalaman walang dan rawan, sukar diubati. Hati ditikam-tikam dan dipanah-panah. Kadang-kadang bagai dicucuk selumbar yang tak mampu dicabut. Pahit benar makna permergian ayah saat itu. 

Untuk merawat rasa remuk dan hancur ini, aku cuba lari dari rumah...seminggu juga aku hilang. hehhe.. takdelah. Aku ajak dua orang sahabat aku untuk bertemu wali Allah keturunan Rasulullah , AlHabib 'Ali bin Ja'afar bin Ahmad AlAidrus atau tersohor dengan gelaran Habib Ali Batu Pahat. Dua orang sahabat aku tu pun keturunan Rasulullah juga.. Syed Saha Ben Yahya dan Syed Mukhtar Alaidrus.. jalan-jalan dengan tok syed ni terrasa aman dan berkat sikit... kihkih

Sebenarnya memang sudah lama kepingin bertemu sang wali Allah nan satu itu.. Sudah banyak cerita dan kisah meniti di bibir-bibir manusia akan perihal kewarakan dan kezuhudan Habib Ali Batu Pahat.. Banyak kali dan banyak tahun juga plan nak pergi Johor jumpa Habib Ali , namun perancangan Allah jua terlebih baik dan penuh dengan  hikmah.

Kami bertiga naik kereta kalau tak silap aku kereta si Saha tu entah dapat pinjam dari anak beranak dia jugak aku rase. Awal-awal perjalanan di sekitar Ajil Hulu Terengganu ni pun dah hampir sesat.. betul ke ni jalan ke KL? time tu LPT belum siap lagi.. masih dalam pembikinan. Kitorang redah je lah (orang ganu kate wakk bijjok) jalan tu ikut signboard. Nasib baik tepat firasat. Sebelum turun ke Batu Pahat, kami naik KL dulu. Saja berjalan-jalan ziarah sahabat yang lain. Ikutkan aku, nak je terus jumpa Habib Ali. Tapi memandangkan kita bermusafir bertiga, maka tak boleh laa nak ikut kepala kita saja.. kan

Kata ulama : "Kita tidak akan benar-benar mengenali seseorang itu melainkan setelah bermusafir dengannya".

Sampai kami di Kuala Lumpur hampir maghrib.. disambut oleh seorang lagi sahabat senior kami juga keturunan Nabi , Muhammad Ben Hafiz. Beliau ni senior kami di Darul Mustofa, Tareem, HadhraMaut Yemen. Saha dan Mukhtar bekas pelajar di sana, sementara aku sempat singgah bermaustautin di Darul Mustafa tu semasa daurah (kem musim panas) selama lebih kurang dua bulan setengah, 13 tahun yang lalu

Muhammad terus bawak kami ke satu majlis maulid yang sedang berlangsung. Tenang je rasa malam tu dengan alunan qasidah, ratib , burdah dan maulid serta tausiah yang disampaikan . Apatah lagi setelah menjamu kambing golek seusai majlis maulid.. perghhh rasa makin tenang... tenang perut

Usai majlis maulid, Muhammad membawa kami ke sebuah rumah untuk tumpang beradu. Rumah kaum kerabat dia kott..Rumah kosong dua tingkat tapi besar dan sangat selesa. Ada kolam ikan dan aircond.. kihkih.. Tak silap lokasinya sekitar Lembah Pantai.. gambar-gambar Habaib juga banyak dalam rumah ni. Kelihatannya seperti majlis maulid kerap kali diadakan di rumah ni termasuklah sesekali jika Habib Omar Ben Hafiz datang ke Malaysia



Fast forward, keesokan harinya kami ke Hutan Lipur Sungai Sendat di Ulu Yam, Selangor untuk berkelah dan mandi air terjun. Sekarang ni tak pasti lah sama ada Sungai Sendat ni masih ditutup atau pun dah dibuka.. sebab dengarnya ada nyawa terkorban disitu.. baca SINI

Tak ada dalam perancangan pun nak ke situ tapi ni semua plan Mukhtar dengan kawan-kawan dia yang duduk sekitar KL tu.. kawan-kawan time belajar di Tareem. Nak sampai ke hutan lipur tu, boleh tahan mencabar jugak perjalanannya... aku rasa macam jauh. Tak sedar dah termimpi lena berapa kali. Jalan hampir nak sampai ke destinasi tu pun agak sunyi 








sambil mandi sambil makan laa lepak.. lepas tu sambung mandi lagi


Lepas habis berkelah tu, terus gerak ke Johor Bharu. Lokasi pertama dituju ialah Kempas, JB. Tumpang bermalam di rumah saudara si Saha pula, Syed Abdul Rahman AlAttas. Beliau tinggal kat satu kawasan taman perumahan. Beliau lah yang akan jadi penunjuk jalan bawa kami ke rumah Habib Ali Batu Pahat, keesokan hari. Terima kasih pakcik sekeluarga atas layanan yang sangat baik. Nasi lemak makcik masak pagi tu pun sedap sungguh, rasa  11 tahun yang lalu tu masih teringat-ingat sampai ke hari ini.. sungguh.. terima kasih banyak


Tibanya hari yang dinanti-nanti untuk ke rumah AlHabib Ali. Lepas kami makan nasi lemak tu, kami terus bertolak dan terlebih dahulu singgah ziarah maqam habaib juga di kawasan perkuburan diraja Mahmudiyyah Johor , berdekatan masjid Abu Bakar.


Maqam AlAllamah AlHabib Salim bin Ahmad bin Muhsin bin Abu Bakar bin Ahmad bin Ali bin Hussain bin AlQutb AlHabib Umar bin Abdul Rahman AlAttas, mufti pertama Johor
(abaikan wajah Mukhtar yang arab tak berapa nak arab duk terselit stu)


Lepas ziarah maqam, pusing-pusing JB sambil mendengar cerita-cerita dari pakcik Syed Abdul Rahman. Hampir malam juga baru sampai di Batu Pahat. Rumah Habib terletak di belakang BP Mall. Rumah sewa yang kecil lagi sederhana. Ruang tamu dipenuhi air-air botol mineral yang orang ramai bawak mintak dibacakan doa. AlHabib Ali bin Jaafar AlAidrus ini menjadi rujukan para aulia Allah dan para ulama besar dari serata dunia. Jika para Habib datang ke Malaysia untuk berprogram, pastinya akan meminta dibawa bertemu dengan Habib Ali ini.



Habib Ali tengah beri nasihat untuk orang ramai yang meminta nasihat. Waktu kami sampai tu, ada jemaah lain juga yang datang ziarah. Aku ambil gambar curi je sebab terlalu segan. Nak tanya apa-apa pun segan.  Aku dengar jerlah Habib Ali bercakap. Habib Ali keluarkan minyak wangi dan bagi sorang sebotol. Air zam zam pun ada kalau tak silap. Untuk kami bertiga dari Terengganu ni, Habib Ali siap bagi RM 50 untuk belanja makan dan isi minyak mungkin. Satu pesanan Habib Ali yang aku masih ingat terngiang-ngiang kat telinga sampai sekarang ialah, lelaki kahwinlah masa umur 25 tahun, ikut sunnah Nabi (kahwin pertama dengan Saiyidatina  Siti Khadijah ketika Nabi umur 25 tahun)

baca lagi kisah Habib Ali di SINI


antara jemaah lain yang turut datang ziarah..


Aku bersyukur dengan ziarah yang sekejap ini.. Dua tahun selepas itu (2010), kita semua berduka. Habib Ali Batu Pahat meninggal dunia. Seluruh dunia menangisi. AlArifbillah AlHabib Ali bin Jaafar AlAidrus Batu Pahat telah kembali kerahmatullah pada jam lebih kurang 5.10 petang, 28 Jamadil Awwal 1431H / 13 Mei 2010.. sedih lagi aku... Macam-macam perasaan bercampur baur dalam diri bila dengar berita tu

Almarhum AlHabib Ali dimaqamkan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cermai, Batu Pahat.. baca kisah DISINI

No comments:

Post a Comment

#Ini adalah blog peribadi

#Segala testimoni dan penulisan berkaitan produk SHAKLEE yang dikongsi & disebarluaskan infonya dilaman ini BUKAN bertujuan untuk merawat, mencegah, mendiagnose apa jua penyakit.

#Pembaca sangat digalakkan untuk mendapat nasihat dari pakar kesihatan dan perubatan. Allah jua Yang Maha Memberi Kesembuhan.